TECHNOLOGY PARK MALAYSIA KONGSI PELUANG STI DENGAN MASYARAKAT TUARAN

TECHNOLOGY PARK MALAYSIA KONGSI PELUANG STI DENGAN MASYARAKAT TUARAN 150 150 rahman

TUARAN, SABAH, 4 Mei – Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) sekali lagi mengambil inisiatif dengan berkongsi peluang dan penawaran program sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan masyarakat di Tuaran, Sabah.

Di dalam program Merakyatkan Inovasi selama dua hari yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tersebut, TPM akan berkongsi mengenai inisiatif serta program sokongan yang dapat membantu masyarakat di Tuaran memanfaatkan peluang perniagaan di dalam bidang  STI.

Program tersebut akan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau di Dewan Kg. Baru Baru, Tuaran pada 5 Mei.

Memikul reputasi sebagai taman teknologi terkemuka dan pemacu teknologi dan inovasi di Malaysia, TPM akan mempamerkan keupayaannya dan berkongsi maklumat mengenai kemudahan, perkhidmatan dan kepakaran yang ada untuk memperkasakan pembangunan dan pertumbuhan teknologi dan keusahawanan, serta merebut peluang dalam sektor bioteknologi.

Di dalam siri perkongsian maklumat bersama agensi MOSTI, Pengurus Kanan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan TPM, Puan Aniz Adura Abdul Majid akan memberikan taklimat bertajuk Kreativiti dan Inovasi Jana Pendapatan. Di dalam pada itu di satu sesi yang lain di Tamparuli sempena Kursus Penanaman Golden Melon, Tuan Syed Mohd Faidz Syed Nokman daripada Jabatan Pembangunan Perniagaan TPM akan berkongsi mengenai Peluang Kolaborasi Bersama TPM.

Antara aktiviti TPM di program tersebut adalah Photo Booth kerjaya STI yang bertujuan mewujudkan kesedaran yang lebih besar dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan remaja sekolah mengenai kepentingan STI dan peluang yang ditawarkan oleh sains, teknologi dan pendidikan matematik (STEM).

Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dato’ Ir. Mohd Azman Haji Shahidin berkata, beliau yakin bahawa penyertaan TPM dalam program Merakyatkan Inovasi  MOSTI ini akan dapat menyokong usaha MOSTI di dalam meningkatkan pengetahuan dan pendedahan di kalangan masyarakat di Tuaran mengenai bidang inovasi, keusahawanan dan STEM.

“Dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi dan inovasi, adalah penting untuk rakyat di kawasan luar bandar dan separa-bandar didedahkan kepada perkembangan terkini dan kemajuan teknologi ke arah meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi mereka.

Mengenai bantuan TPM yang diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan di Sabah, Azman berkata syarikatnya bejaya membantu membangunkan taraf beberapa usahawan Sabah dalam pembuatan serta pengkomersialan produk perkhidmatan mereka.

Antaranya ialah Puan Faridun Nisa Zardad Khan dari Sulaman Kota Kinabalu. Beliau telah mendapatkan perkhidmatan TPM Biotech Sdn. Bhd. untuk merumus dan mengeluarkan minuman coklat dan teh herba di bawah jenama Pintar Kids dan Teh Misai Kuching. Perniagaan beliau telah berkembang sehingga membolehkan beliau mengeluarkan dua produk baru iaitu Pintar Minds dan Cocoa Collagen.

Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd sebuah agensi MOSTI, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri, iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

— Tamat —