INISIATIF GREEN PIT STOP MENGALAKKAN ANAK MUDA BERSAMA-SAMA MEMELIHARA ALAM SEKITAR

INISIATIF GREEN PIT STOP MENGALAKKAN ANAK MUDA BERSAMA-SAMA MEMELIHARA ALAM SEKITAR 150 150 farah

IPOH, PERAK, 12 APRIL – NY Design(M) Sdn Bhd, merupakan inkubati dari Technology Park Malaysia, yang kini membuat anjakan paradigma dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya belia dan kanak-kanak untuk memelihara alam sekitar dengan menggunakan inisiatif hijau melalui jenama mereka iaitu Green Pit Stop (GPS).

Syarikat ini bakal menemui para pelajar dan komuniti di sekitar Perak atas penglibatan mereka dalam karnival STEM Waves 2019, esok di Studio Animation Park Studio, Ipoh.

Acara yang diadakan selama satu hari ini dianjurkan oleh Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bersama-sama Yayasan Pendidikan Kampar (YPK). Karnival ini juga bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Puan Aniz Adura Abdul Majid, Pengurus Kanan  Komunikasi Strategik dan pihak berkepentingan Technology Park Malaysia, juga akan memberikan taklimat beliau mengenai  “Kerjaya di dalam bidang Sains dan Teknologi” di ceramah STEM.

Pengarah Kreatif NY Design, Puan Aznin Yusof merupakan seorang yang berdedikasi tinggi dalam merealisasikan misi beliau menyelamatkan alam sekitar melalui projek hijau dengan  mensasarkan  kepada generasi muda. Menurut beliau, kesedaran tentang keperluan menyelamatkan alam sekitar melalui konsep 3Rs (Kurangkan, Gunakan semula dan Kitar semula) dalam kalangan anak muda, belia dan masyarakat Malaysia perlu dipupuk sejak dari awal.

Aznin merupakan isteri kepada pemain gitar utama, Kid Search seorang anggota kumpulan rock Search yang juga Duta Program Green Pit Stop. Beliau mengusahakan syarikat ini sejak dua tahun lepas dengan mengaplikasikan kreativiti beliau dalam rekaan dan seni dalam menghasilkan produk mesra alam dari barangan terpakai untuk taman kitar semula.

Kini, beliau merupakan seorang penceramah yang aktif dalam membincangkan mengenai  alam sekitar, produk mesra alam dan  kitar semula sesuai dengan minat beliau yang mendalam dalam bidang ini. Malah, beliau yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan  Grafik di salah sebuah stesyen Tv berbayar terkemuka merupakan antara penceramah utama yang dijemput oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk Minggu Sains Negara yang diadakan di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk mesra alam yang digunakan adalah daripada barang-barang terbuang  dan dikitar semula seperti tali gitar, panel kayu, porselin, buluh barangan elektronik atau gramophone lama dan lain-lain bagi penghasilan taman kitar semula.

Menurut Aznin usia yang sesuai untuk mendidik kanak-kanak adalah di antara umur 3 tahun dan 7 tahun. “Lingkungan usia ini dapat mempercepat proses pembelajaran dan menerapkan amalan yang baik. Jika kita mampu mengubah pemikiran 10% populasi kanak-kanak, ia akan memberi hasil yang positif ke arah yang baik dalam mendidik dan menyokong kepentingan menjaga alam sekitar” .

“Bermula dengan  dua konsep taman  iaitu  Taman Batu dan Taman Syurga di kawasan berhampiran surau, kini kami telah menghasilkan 13 konsep taman dan sedang mengusahakan beberapa lagi hasil inisiatif dengan menyentuh sedikit teknologi  Internet-of-Things dalam menggabungkan sains dan seni demi meningkatkan hasil  kreativiti kami.”

“Usaha kami dalam meningkatkan daya kreativiti melalui pengajaran dalam bidang sains, teknologi,  kejuruteraan dan matematik (STEM), membuatkan kami sedar bahawa elemen seni perlu ditambah. Oleh itu, kita dapat memulakan versi baharu modul pengajaran dan pembelajaran menjadi kreatif  dengan adanya STEAM (sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik) untuk memastikan keseimbangan di antara fungsi sains dan seni,” jelas beliau.

Technology Park Malaysia, agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan tekno dan usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri , iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

 

### Tamat ###