TECHNOLOGY PARK MALAYSIA MEMUPUK MINAT BIDANG STEM DAN KERJAYA SAINS

TECHNOLOGY PARK MALAYSIA MEMUPUK MINAT BIDANG STEM DAN KERJAYA SAINS 150 150 farah

 MASJID TANAH, 2 OGOS – Aktiviti stimulasi kerjaya mengenai peluang-peluang yang ditawarkan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang dijalankan oleh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) dijangka mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar sekolah di Melaka.

Aktiviti tersebut dijalankan sempena Karnival Perdana Kokurikulum SMK Hang Kasturi yang diadakan selama sehari di dewan sekolah bermula 8.00 pagi hingga 3.00 petang.

Objektif utama karnival ialah untuk meningkatkan pengetahuan dan memberi pendedahan peluang kerjaya dalm pelbagai bidang serta meningkatkan kemahiran dan melatih pelajar untuk bergiat cergas dalm bidang kokurikulum selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025.

Selain pelajar SMK Hang Kasturi, ibu bapa serta pelajar sekolah-sekolah disekitar Masjid Tanah turut dijemput menghadiri program tersebut. Dijangkakan 900 pelawat akan hadir manakala lebih 6 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pameran.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM, YBhg Dato’ Ir Mohd Azman Haji Shahidin, dengan pembangunan sosial dan ekonomi yang pesat di Malaysia terdapat satu keperluan mendesak untuk menerima-pakai teknologi dan inovasi terkini untuk terus membina dan mengekalkan pertumbuhan keseluruhan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Ianya juga sejajar dengan keperluan negara untuk meningkatkan kebolehan dan pengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merentasi seluruh sektor.

Beliau berkata, bidang STEM menawarkan peluang besar dengan masa depan yang cerah untuk mereka yang ingin meneruskan kerjaya mereka dalam bidang ini.

Subjek STEM adalah di mana pelajar mempelajari kemahiran untuk mengumpulkan dan mengkaji maklumat (kemahiran penyiasatan sains), menilai dan memahami maklumat (kemahiran analisis matematik) dan menentukan bagaimana maklumat dapat menyelesaikan masalah (kemahiran inventif kejuruteraan) menggunakan teknologi yang ada pada mereka hari ini.

“Usaha-usaha kerajaan dalam mempromosikan bidang sains, teknologi dan inovasi tidak dapat dielakkan demi memenuhi cita-cita negara untuk mencapai bukan sahaja status maju, tetapi juga keperluan untuk membina sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang boleh membantu menggerakkan rantaian nilai ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang mampan pada masa hadapan.

Malaysia memerlukan lebih ramai saintis dan ahli teknologi untuk mamcu negara ke era tertinggi kemajuan teknologi yang menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan masyarakat kita. Negara yang kaya dan maju mempunyai nisbah saintis yang lebih tinggi. Menjelang tahun 2020, kita mahu mencapai nisbah 70 ahli sains bagi setiap 10,000 penduduk bagi merealisasikan matlamat untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan inovatif.

“Selain mengambil gambar berpakaian kerjaya masing-masing, pelawat digalakkan mengambil bahagian didalam kuiz serta aktivit berkaitan STEM yang bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap subjek sains, teknologi, matematik dan kejurjuteraan,” tambahnya.

TPM sebagai agensi yang megalakkan pembangunan sains, teknologi dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia, sangat komited dalam memainkan peranan khidmat komuniti sosialnya terhadap penduduk bandar dan luar bandar.

Empat kawasan luar bandar di Melaka pernah menerima sumbangan lampu jalan solar LED di bawah inisiatif projek inovasi sosial Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Persekitaran dan Perubahan Iklim (MSI 2016).

Manakala TPM memberi sumbangan 10 unit bot nelayan pantai berkuasa 40HP yang dilengkapi teknologi terbaru Syn-Hybrid Gas Generator yang bernilai kira-kira RM300,000 kepada komuniti keluarga nelayan Tanjung Kling pada tahun lepas.

Pada November 2017, TPM menyampaikan tiga unit mesin desktop Computer Numerical Control (CNC) berjumlah RM300,000 kepada tiga institusi pengajian teknikal Melaka untuk meningkatkan pengetahuan dan latihan praktikal pelajar terhadap CNC dan modul AutoCAD.

“Kami berharap agar para pelajar akan merebut peluang ini untuk melawat pameran kami di SMKHK bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik akan manfaat STI dan prospek kerjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Technology Park Malaysia Sdn Bhd, sebuah agensi MOSTI, adalah taman teknologi perintis dan terkemuka di Malaysia, yang merangkumi seluruh 686 ekar tanah mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan tekno dan usahawan yang berminat untuk mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri, iaitu, ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

 

 Tamat —