TECHNOLOGY PARK MALAYSIA TERIMA ANUGERAH ZAKAT KEBANGSAAN 2018 KATEGORI GLC

TECHNOLOGY PARK MALAYSIA TERIMA ANUGERAH ZAKAT KEBANGSAAN 2018 KATEGORI GLC 150 150 rahman

PUTRAJAYA, 27 NOV. – Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), taman teknologi dan pusat inkubasi negara, telah memenangi Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 untuk kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Anugerah Zakat Kebangsaan tahunan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri.

Untuk anugerah tahun ini, TPM telah diiktiraf kerana memainkan peranan penting dalam mempromosikan nilai-nilai Islam dan tanggungjawab agama di kalangan pekerjanya, menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) peringkat kebangsaan serta pembangunan dan peningkatan kesejahteraan masyarakat.

Selain memainkan peranan penting dalam komitmennya terhadap sumbangan zakat tahunan, TPM juga memastikan para pekerjanya diberikan taklimat berkaitan kewajipan agama melalui sesi tazkirah bulanan.

Bagi anugerah tersebut, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Encik Sharbani Harun berterima kasih kepada JAWHAR atas pengiktirafan sumbangan dan inisiatif TPM serta perlaksaan program yang berkaitan demi meningkatkan pengetahuan masyarakat di peringkat kebangsaan.

“Kami bertanggungjawab memastikan nilai dan ajaran Islam yang sebenar diwar-warkan kepada semua kakitangan TPM yang bergama Islam. Kami komited untuk melaksanakan beberapa inisiatif CSR inisiatif inovasi sosial untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat kurang bernasib baik.

“Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 didedikasikan untuk semua kakitangan TPM dan kami sememangnya amat berbangga apabila menerima pengiktirafan sedemikian,” kata Sharbani.

Antara aktiviti utama dan program sosial yang dijalankan oleh TPM ialah:

  1. Menjalankan kursus professional kimpalan 6G untuk remaja dan belia dari Kuala Lumpur dan Perak yang kurang bernasib baik bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Perak;
  2. Program menyediakan pakaian Hari Raya dan keperluan lain untuk pelajar miskin dan anak yatim di Melaka dan Perak;
  3. Mengadakan pameran dan program promosi yang berkaitan dengan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk kanak-kanak sekolah di seluruh sekolah di Malaysia;
  4. Penanaman pokok Tecoma untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar dan sains hortikultur di kalangan kanak-kanak sekolah di SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah, Perak.
  5. Sumbangan cermin mata kepada pelajar miskin di Sungai Lembing, Pahang;
  6. Memperkenalkan dan mempromosikan alat inovasi “MyFon”, telefon tanpa tunai yang pertama seumpamanya di Asia, kepada pelajar SMK Raja Perempuan Kalsom, Kuala Kangsar, Perak; dan

Technology Park Malaysia, agensi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan tekno dan usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri , iaitu ICT, Kejuruteraan, Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

—Tamat —