TPM BIOTECH SASAR PERTUMBUHAN 30% PADA JANGKAUAN DOMESTIK DAN SERANTAU YANG LEBIH LUAS

TPM BIOTECH SASAR PERTUMBUHAN 30% PADA JANGKAUAN DOMESTIK DAN SERANTAU YANG LEBIH LUAS 150 150 rahman

MELAKA, 15 NOV. – TPM Biotech Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Technology Park Malaysia (TPM) Corporation Sdn Bhd mensasarkan untuk mencapai pertumbuhan perniagaan sebanyak 30% dalam jangka pendek dan sederhana, dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang melalui program penjangkauan domestik dan serantau yang lebih luas dan agresif.

TPM Biotech menyertai beratus syarikat yang mengambil bahagian Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDESA) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar di MITC Melaka selama empat hari dengan mempamerkan jenama produk berasaskan herba Herbs Garden Garcinia Plus, Herbs Garden Peria dan Herbs Garden Smilax Plus.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan TPM Corporation, Encik Zulkifli Fitri Ismail berkata dengan mengadaptasi pendekatan yang lebih agresif untuk jangkauan domestik dan serantau membolehkan TPM Biotech membantu meningkatkan kesedaran dan mempercepatkan pertumbuhan para usahawan di sektor bioteknologi.

“Sebagai salah satu penyumbang utama sektor bioteknologi Malaysia, adalah relevan untuk TPM Biotech terus membantu komuniti akar umbi dalam merebut peluang perniagaan yang bernilai berbillion ringgit yang banyak ditawarkan oleh industri berasaskan herba, bermula dari peringkat bahan mentah hingga produk siap.

“Prospek produk bioteknologi berasaskan herba terus kukuh di peringkat pasaran tempatan dan global. Atas sebab inilah kami ingin mengukuh dan mempertahankan kedudukan kami di pasaran dengan mempromosikan pelbagai produk Herbs Gardens di INOTEKDESA.

“Kami yakin pameran ini akan memberi peluang untuk kami mencapai sasaran pasaran dalam negara dan serantau yang lebih luas. Ia juga akan menyediakan platform yang diperlukan untuk mempromosikan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa yang ditawarkan oleh TPM Biotech kepada perniagaan yang sedia ada dan berpotensi dalam bidang bioteknologi,” katanya.

Produk Herbs Garden TPM Biotech dihasilkan di kilangnya di Raub, Pahang. Kemudahan ini dilengkapi dengan mesin dan peralatan yang mampu menawarkan khidmat pembuatan kontrak kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Bekerjasama rapat dengan pelanggan, kami membantu usahawan dengan menawarkan khidmat nasihat dan kaunseling, kemudahan dan perkhidmatan inkubasi, pengkomersilan produk, pembuatan kontrak dan juga membangun strategi untuk memaksimumkan pulangan pelaburan mereka.

“Pelanggan pasti yakin dengan kualiti produk terbaik kerana komitmen untuk kecemerlangan, amalan dan proses antarabangsa, serta kawalan mutu yang ketat dalam memenuhi piawaian tertinggi di peringkat antarabangsa sentiasa menjadi sasaran kami.

“Satu lagi kelebihan TPM Biotech ialah makmal sains yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk analisis dan pengesahan halal,” kata Zulkifli.

Kemudahan TPM Biotech di Pahang telah memperoleh status Amalan Pengilangan Baik (GMP), oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

TPM Biotech memperolehi pentauliahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan pensijilan ISO9001: 2008 dan IEC 17025. Di samping itu, kawasan pemprosesan makanannya adalah kemudahan yang memiliki akreditasi HACCP. Semua akreditasi, pengesahan dan kapasiti pengeluaran komersial yang besar menjadikan TPM Biotech sebagai pilihan utama untuk produk dan perkhidmatan usahawan akar umbi.

— Tamat —